Endometriosis adalah penyakit kronik yang boleh menjejaskan organ pembiakan wanita. Ia berlaku apabila sel-sel dalam lapisan rahim yang dipanggil endometrium tumbuh di luar rahim. Ia kerap dijumpai di dalam dan di sekitar organ-organ pelvis termasuk ovari dan salur fallopian. Kadang-kadang tisu endometrium juga boleh ditemui di anggota badan yang lain seperti usus.
Kira-kira 10% daripada wanita yang berumur di antara 15-49 tahun mengalami endometriosis di seluruh dunia dan 30-40% daripada wanita ini dihidapi dengan masalah infertiliti dan 90% lagi menderita dengan sakit pelvis.
Malangnya, ramai daripada wanita tidak menyedari mereka mengalami endometriosis semasa peringkat awal, hanya apabila endometriosis sudah berada pada peringkat teruk, sudah terlambat untuk menyelamatkan organ pelvik yang sudah rosak akibat komplikasi endometriosis.
Berikut adalah tanda-tanda yang kerap terjadi pada wanita yang mengalami endometriosis
Sengugut Yang Teruk
Sengugut merupakan tanda utama endometriosis. Walaupun senggugut kerap terjadi terutama di kalangan remaja, sengugut yang dikaitkan dengan endometriosis lebih “intense” dan kerap disertai dengan rasa mual dan muntah. Sesetengah terpaksa mendapatkan cuti sakit daripada doktor disebabkan kesakitan yang ketara.
Sakit Belakang Berterusan
Ramai pengidap endometriosis mengalami sakit belakang yang kronik dan mendorong untuk berjumpa doktor tulang kerana berfikir ia berpunca dari tulang belakang walaupun sebenarnya ia disebabkan oleh endometriosis yang kronik.
Sakit Semasa Hubungan Seks
Seks yang menyakitkan merupakan salah satu tanda yang kerap terjadi di kalangan wanita yang mengalami endometriosis terutama semasa tusukan penis. Segelintir wanita mengalami sakit yang ketara pada tempoh subur (ovulasi) menyebabkan mereka phobia untuk bersama semasa subur seterusnya mengurangkan peluang untuk hamil.
Perut Senak Sepanjang Masa
20% dari wanita endometriosis yang mengalami senak bukan sahaja semasa haid malahan sepanjang masa. Sakit selalunya terjadi pada bahagian bawah perut (pelvis) seperti rasa sengal dan berat terutama pada hari-hari sebelum kedatangan haid.
Aliran Haid Yang Banyak dan Lambat Habis
Kebanyakan daripada pengidap endometriosis mengalami masalah haid yang lebih lama dan lebih banyak daripada wanita lain. Mereka juga kerap mengalami pendarahan di tengah kitaran dengan haid terjadi dengan lebih kerap dan singkat.
Sukar Hamil
50% daripada wanita yang sukar hamil didapati mengalami endometriosis dan ramai di kalangan mereka tidak mengetahui yang mereka mengalami endometriosis sehinggalah penyiasatan dilakukan kenapa mereka gagal hamil. Ia selalunya dikesan dengan menggunakan ujian ultrasound.
Masalah Pundi Kencing
Endometriosis boleh menyebabkan kencing berdarah dan sakit semasa membuang air kecil sekiranya endometriosis merebak ke dalam pundi kencing. Pesakit juga boleh mengalami kencing yang kerap dan kadang-kadang tidak dapat mengawal pundi kencing mereka.
Masalah Sembelit dan Cirit
Segelintir pengidap yang mengalami sembelit dan sesetengahnya cirit-birit yang datang dan hilang dan ia menjadi semakin teruk di saat saat hampir haid.
Ada juga yang mengalami kesakitan setiap kali membuang air besar atau semasa melepas angin (kentot). Dalam kes yang jarang berlaku, endometriosis mungkin terbentuk di dalam usus itu sendiri dan menyebabkan najis berdarah semasa haid.
Faktor Genetik
Walaupun punca endometriosis terjadi masih sukar difahami, terdapat bukti-bukti yang ia mungkin disebabkan oleh faktor genetik. Sekiranya ibu atau saudara perempuan anda mengalami endometriosis, risiko anda untuk mendapat endometriosis menjadi tinggi.
Apa yang perlu saya lakukan sekiranya ada mengalami tanda-tanda yang disebut di atas?
Sekiranya anda mempunyai sebahagian daripada masalah di atas, kemungkinan untuk mendapat endometriosis adalah tinggi. Jumpa doktor pakar untuk ujian ultrasound. Elok berjumpa dengan doktor pakar yang berpengalaman dengan pembedahan laparoskopi kerana ia adalah prosedur pembedahan yang disarankan sekiranya anda disahkan mengalami endometriosis.
Adik saya baru saja menjalani pembedahan kecil akibat appendics tapi semasa pembedahan dijalankan doctor mendapati terdapat ketulan2 endometriosis didinding ovari dn doktor telah membuang ketulan2 tersebut. Boleh saya tau setelah pembuangan itu dilakukan peratusan untuk adik saya mngandug sekiranyer dia berkahwin bagaimana? Adakah peluangnya tipis @ seperti biasa dn saya nak tau dlm keadaan begitu ditahap mana kah endometriosis beliau.?
bergantung kepada salur peranakan adik puan tersumbat atau tidak. Kalau sudah tersumbat peluang hamil tipis