Fibroid adalah ketumbuhan rahim yang kerap berlaku dan kajian menunjukkan 25 peratus wanita mengalami fibroid bermaksud 1 dalam 4 wanita adalah pengidap fibroid. Apa yang menariknya ramai wanita tidak menyedari mereka mengalami fibroid kerana mereka tidak mengalami sebarang gejala.
Fibroid bukan kanser dan jarang memberikan masalah sekiranya ia bersaiz kecil dan terbentuk pada bahagian tepi rahim. Selagi tiada gejala, kehadiran fibroid boleh diabaikan dan wanita hanya perlu memantau tumbesarannya dengan membuat pemeriksaan tahunan.
Gejala bergantung sepenuhnya kepada saiz dan tempat dimana ia tumbuh dalam rahim. Fibroid subserosa yang tumbuh di kawasan tepi rahim jarang memberikan masalah walaupun ia sangat besar. Pesakit mungkin perasan perut kelihatan buncit dan keras tetapi tiada masalah lain.
Tetapi, sekiranya fibroid tumbuh di dalam ruang rahim walaupun kecil saiznya, wanita mungkin akan mengalami pendarahan haid yang luar biasa seperti darah haid yang banyak dan berketul dan sakit senggugut yang teruk.
Sekiranya posisi fibroid berada pada belakang rahim wanita mungkin mengalami gejala seperti sukar membuang air besar dan sakit belakang.
Jika posisi depan rahim pula, wanita akan kerap terkencing atau sukar menahan pundi kencing anda kerana fibroid boleh menekan pundi kencing anda.
Dalam kes yang jarang jarang, fibroid yang besar boleh menekan ureter dan menyebabkan buah pinggang bengkak dan rosak.
Sekiranya anda mengalami masalah sukar hamil, ada kemungkinan anda mengalami fibroid. Fibroid boleh menutup pangkal rahim anda menyukarkan sperma memasuki rahim dan sekiranya fibroid memenuhi ruang dalam rahim ( jenis submucosa), implantasi sukar terjadi menyebabkan wanita sukar hamil.
Sekiranya anda mengalami keguguran berulang, elok pastikan anda tidak mengalami fibroid kerana ia boleh menjadi punca keguguran tersebut. Janin sukar membesar sekiranya ruang rahim dipenuhi fibroid.
Jumpa doktor pakar untuk pemeriksaan Ultrasound awal dan selalunya doktor akan menyarankan beberapa lagi ujian termasuk Hysteroscopy sekiranya anda disyaki mengalami fibroid.

Tinggalkan komen