Keputusan untuk mengambil ujian kehamilan bukanlah perkara mudah dilakukan bagi sesetengah wanita, terutama bagi mereka yang merancang untuk hamil. Anda tidak mahu kecewa sekiranya ia memberikan keputusan negatif.
Ujian mengesan kehamilan dengan menggunakan kit air kencing sebenarnya agak tepat, cepat dan senang digunakan. Tetapi sekiranya ia negatif mungkin anda tertanya-tanya bilakah masa yang sesuai untuk membuat ujian ulangan untuk memastikan samada anda hamil atau tidak.
Saranannya ialah menunggu sekurang-kurangnya satu minggu untuk membuat ujian ulangan. Ini adalah untuk memberi masa pada badan anda merembes cukup hormon HCG (human chorionic gonadotropin) untuk dikesan dalam air kencing anda.
Tetapi sekiranya anda tidak ingin menunggu, ujian ulangan boleh dibuat 2-3 hari kemudian kerana rembesan HCG menjadi hampir dua kali ganda setiap 48 jam. Ujian yang menunjukkan tahap melebihi 4 mIU/ml akan mengesahkan kehamilan anda.
Masalah dengan membuat ujian terlalu awal
Walaupun ujian kehamilan tepat dan sensitif tetapi ia bergantung sepenuhnya kepada bila ujian kehamilan dibuat. Jika dibuat terlalu awal ia kerap memberikan keputusan negatif dan ini boleh membangkitkan rasa kecewa.
Rembesen hormon HCG berlaku seawal 1 minggu dari tarikh persenyawaan berlaku dan jika rembesan masih sedikit, ia tidak cukup untuk membuat ujian air kencing anda menjadi positif. Jadi jangan terlalu tergesa-gesa untuk melakukan ujian terutama jika haid anda masih belum lambat.
Pilihan yang ada jika anda tidak ingin menunggu
Sekiranya anda beria-ia untuk mengetahui dengan tepat samada anda sudah hamil atau tidak, cara yang mudah ialah dengan membuat ujian darah Beta HCG.
Hormon HCG dirembes seawal 3 minggu hamil dan sekiranya berlaku kehamilan, ujian akan positif walaupun haid anda masih belum “missed period”.
Ia tepat dan hampir 100% dapat mengetahui samada anda hamil dan keputusan dapat diketahui dalam tempoh satu jam.
Apa yang saya perlu buat sekiranya ujian ulangan UPT juga negatif.
Sekiranya ujian ulangan air kencing masih negatif dan haid anda masih belum tiba ia bermaksud anda tidak hamil. Jumpa doktor untuk memastikan punca mengapa haid anda lewat. Jumpa doktor anda hari ini.
Baca lagi : 12 Sebab Mengapa Haid Anda Lewat
Baca lagi : Senggugut Tetapi Tiada Haid
Jumpa doktor untuk memastikan anda tidak ada masalah perubatan lain yang boleh mengganggu kitaran haid anda.