Hampir setiap wanita yang mencuba untuk hamil ingin mengetahui bilakah hari mereka yang paling subur. Hari subur adalah hari dimana anda mengalami ovulasi iaitu pada hari telur akan dikeluarkan oleh ovari. Sekiranya anda membuat hubungan seks pada waktu ini, peluang anda menjadi hamil menjadi tinggi.
Terdapat pelbagai kaedah untuk mengesan dan meramal hari ovulasi yang boleh dibuat di rumah seperti dengan mengesan mukus serviks, membuat carta suhu badan basal dan mengunakan Kit ovulasi.
Menggunakan Kit Ovulasi untuk mengesan hari ovulasi anda
Kit Ovulasi berprinsip sama seperti ujian kehamilan. Kit ovulasi mengesan ovulasi dengan bertindak dengan mengesan rembesan hormon LH yang dikeluarkan dengan banyak sebelum ovulasi terjadi. Sepertimana ujian kehamilan anda dikehendaki kencing pada alat tersebut dan sekiranya dua jalur menjelma- anda bakal mengalami ovulasi dalam masa 24 jam dan paling subur pada waktu ini.
Jika anda mempunyai kitaran yang tidak teratur, ujian ovulasi boleh menjadi mahal kerana anda perlu membuat ujian ini dengan lebih kerap.
Ia juga tidak berkesan untuk semua wanita. Wanita dengan sindrom ovari polisistik (PCOS) tidak sesuai untuk mengamalkan kaedah ini dan keputusan mungkin menunjukkan mereka tidak mengalami ovulasi langsung.
Menentukan hari ovulasi dengan memeriksa lendir serviks
Sebelum ovulasi, mukus serviks adalah tebal dan melekit, tetapi apabila anda semakin hampir ke hari ovulasi, terdapat perubahan besar pada mukus tersebut iaitu ia menjadi semakin banyak dan lebih kelihatan seperti putih telur.
Mukus ini sebenarnya membantu sperma berenang dengan lancar sehingga ke dalam saluran pembiakan. Ia selalunya terjadi 2-3 hari sebelum berlakunya ovulasi dan paling banyak pada hari ovulasi.
Setelah ovulasi berlalu, mukus serviks akan kering semula dan menjadi melekit seperti sebelum ovulasi.
Kajian mendapati bahawa hubungan seks pada hari yang paling banyak lelehan mukus meninggikan peluang wanita untuk hamil.
Walaubagaimanapun, tidak semua wanita mengalami tanda-tanda berlebihan mukus ini. Ini mungkin disebabkan faktor usia dan juga disebabkan oleh kesan sampingan dari ubat clomid. Dos clomid yang tinggi boleh mengeringkan lelehan serviks.
Mempunyai sedikit atau tidak ada mukus serviks juga boleh disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon atau juga merupakan faktor risiko sukar hamil (infertiliti) terutamanya mereka yang mengalami sindrom PCOS. Jadi tidak semua wanita sesuai untuk menggunakan teknik ini.
Carta Suhu Badan Asas dan Hari ovulasi
Suhu badan Asas atau Basal Body Temperature ( BBT) adalah suhu badan anda semasa anda sedang berehat dan berubah bila berlaku berlaku ovulasi. Rembesan hormon progesteron dari ovari meningkat dengan mendadak dan menyebabkan suhu badan anda meningkat dengan mendadak.
Kelemahan menggunakan BBT ini adalah perubahan suhu ini cuma dapat dikesan selepas ovulasi berlaku.
Jika kitaran haid anda adalah sangat teratur, carta BBT boleh membantu anda meramal hari ovulasi untuk kitaran bulan seterusnya. Walaubagaimanapun jika kitaran anda tidak teratur, anda mungkin tidak ada perubahan suhu langsung jadi cara BBT tidak akan berkesan terhadap anda.
Adakah saya perlu mengetahui dengan tepat tarikh ovulasi saya untuk hamil?
Sebenarnya tidak perlu. Sekiranya haid anda teratur dan anda melakukan hubungan kelamin dengan kerap iaitu 3-4 kali seminggu, anda pasti tidak akan ketinggalan hari subur anda, jadi teknik di atas tidak penting untuk anda.
Saya masih belum hamil walaupun BBT dan ujian kit ovulasi menunjukkan tanda ovulasi. Apa yang saya perlu buat sekarang?
Jumpa doktor sekiranya anda masih belum hamil selepas 1 tahun mencuba walaupun sudah jelas anda mengalami ovulasi. Bincang dengan doktor tentang ujian seterusnya termasuklah ujian air mani dan ujian ultrasound pelvis.
Tinggalkan Jawapan kepada Khadijah Batal balasan