Pil Perancang merupakan salah satu kaedah perancang keluarga yang popular dan ia selamat digunakan oleh kebanyakkan wanita yang ingin menjarakkan kehamilan mereka.
Walaupun kebanyakkan wanita yang mengambil Pil Perancang tidak mengalami sebarang kesan sampingan sama sekali, ia tidak semestinya tiada risiko.
Ia berfungsi menyekat ovulasi dari berlaku dan lendir tebal pada pangkal rahim menghalang kemasukkan sperma ke dalam rahim menjadikan Pil Perancang salah satu alat perancang keluarga yang paling efektif.
Ia juga menipiskan dinding rahim dan mengurangkan aliran darah kepada rahim dan ini mengurang peluang implantasi dari berlaku.
Walau bagaimanapun, Pil Perancang mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri dan ia termasuk;
- Pendarahan di tengah bulan
- Kenaikan Berat Badan
- Loya
- Payudara menjadi lembut
- Sakit kepala
- Perubahan emosi
Kebanyakkan kesan sampingan ini sangat ringan dan hilang dengan sendiri selepas 2-4 bulan pemakanan.
Walau bagaimanapun terdapat komplikasi serius iaitu komplikasi darah beku pada betis tetapi ia sangat jarang terjadi. Namun begitu wanita yang merokok berisiko tinggi untuk mendapat masalah ini dan penggunaan Pil Perancang tidak disarankan sama sekali kepada wanita yang merokok.
Bila Anda Perlu Berjumpa Doktor
Kebanyakkan kesan sampingan adalah ringan tetapi terdapat beberapa gejala yang anda perlu perhatikan yang boleh memberikan tanda-tanda yang anda mungkin mengalami darah beku pada kaki anda.Tanda-tanda tersebut termasuk:
- Kaki bengkak
- Kaki sakit
- Kaki yang terasa panas apabila disentuh dan terdapat perubahan warna pada kulit kaki.
- Demam dan menggigil
- Sesak Nafas
- Sakit dada
- Batuk Berdarah
- Sakit kepala yang menjadi lebih teruk.