Matlamat utama anda adalah mengandung dan melahirkan bayi yang sihat dengan mengurangkan sebanyak mungkin risiko kelahiran yang mungkin ada.
Pada sesetengah wanita harapan melahirkan secara normal tidak kesampaian apabila doktor mengisytiharkan kelahiran secara caesarean adalah yang terbaik buat ibu dan anak dalam kandungan.
Selepas pembedahan, anda berdepan pula dengan satu lagi cabaran iaitu untuk memastikan parut caesarean anda sembuh dengan sempurna.
Kebanyakan parut C-seksyen sembuh dengan baik, cuma meninggalkan garis samar yang sering tidak kelihatan pada mata kasar pada paras bikini.
Bagaimana Luka Hirisan C-seksyen Dijahit.
Kebanyakan hirisan pada kulit dijahit dengan menggunakan benang yang larut tetapi terdapat beberapa kaedah yang lain yang mungkin doktor anda gemar gunakan antaranya;
- Mengguna Stapler. Stapler boleh digunakan untuk menutup hirisan pembedahan. Ia menjadi kegemaran disebabkan ia mudah dan cepat.
- Menggunakan Benang. Dengan mengunakan jarum, luka di jahit dengan benang yang senang larut tetapi mengambil lebih masa dari menggunakan stapler. Bagaimanapun jahitan benang kurang berkemungkinan untuk mendapat jangkitan kuman dan komplikasi lain.
- Menggunakan Gam. Penggunaan Gam dikatakan memberikan tempoh penyembuhan yang lebih cepat dan paling kurang berisiko untuk memberikan parut yang lebih tebal seperti keloid.
Jenis Parut Caesarean
Parut C-seksyen selalunya sembuh dengan sempurna, tetapi pada segelintir wanita proses penyembuhan boleh membawa kepada masalah dengan parut tebal seperti parut keloid dan hypertrophic.
Tip Membantu Parut Cesarean Sembuh Dengan Baik
- Pastikan ia bersih sepanjang masa. Anda boleh mandi macam biasa tetapi pastikan luka bersih dan kering. Lap dengan tuala kering yang bersih.
- Pastikan ia Kering. Pastikan luka kering dengan mendedahkan ia kepada udara. Luka yang basah lebih kerap terdedah pada jangkitan kuman.
- Tepati temujanji yang diberikan. Selalunya anda akan diberikan tarikh temujanji agar luka dapat diperiksa untuk sebarang tanda komplikasi.
- Bergerak dengan lebih kerap. Berbaring di katil tidak menggalakkan aliran darah yang boleh membantu penyembuhan luka dan juga mengurangkan risiko anda untuk mendapat DVT iaitu kejadian darah beku selepas bersalin.
Tanda-tanda Komplikasi
Jika anda mengalami mana-mana gejala berikut, jumpa doktor anda dengan segera:
- Kemerahan atau bengkak pada tempat jahitan
- Demam – suhu lebih tinggi daripada 38 darjah
- Keluar lelehan atau nanah dari tempat luka
- Sakit yang semakin ketara
- Luka itu menjadi keras atau sakit yang semakin meningkat
- Tempat jahit terbuka
- Sakit pada salah satu belah betis.
Bagaimana Untuk Kurangkan Parut Tebal
Pakai silikon gel atau silicon sheet dari 1 minggu selepas pembedahan sehingga 2-3 bulan.Silikon boleh membantu melembutkan dan meratakan parut, terutamanya jika anda mempunyai kecenderungan untuk membentuk keloid atau parut hypertrophic.