Jika anda ingin mengelak dari hamil atau cuba untuk hamil, mungkin anda tertanya-tanya bilakah tarikh anda paling subur.
Ia menjadi mudah sekiranya kitaran haid anda teratur dan tepat setiap bulan. Kitaran haid yang normal adalah di antara 21 hingga 35 hari kitaran.
Penentuan Tempoh Paling Subur
Hari paling subur adalah pada hari kita berovulasi. Ovulasi selalunya terjadi pada hari ke 14 sekiranya haid anda berkitar 28 hari. Jadi hari yang subur adalah 8 hingga 10 hari selepas haid hari pertama.
Sekiranya haid anda berkitar 30 hari, hari subur anda jatuh dalam 10 hingga 12 hari selepas haid pertama iaitu anda berovulasi hari ke 16.
Jadi, anda perlu mengetahui berapa panjang kitaran haid anda sekiranya ingin mengetahui tarikh subur anda dengan tepat.
Berikut adalah panduan untuk hari-hari subur pada wanita yang mempunyai kitaran 28 hari.
Hari 1-5 – Anda mengalami pendarahan haid
Hari 6-9 – Tidak Subur
Hati 10-12- Agak Subur
Hari 13-15 – Hari bertelur jadi anda paling subur
Hari 16-19- Mungkin subur
Hari 20-28- Tidak Subur
Tempoh Telur hidup cuma antara 12 hingga 24 jam tetapi sperma boleh hidup sehingga 5 hari. Jadi anda mempunyai kira-kira tempoh antara 5 hingga 7 hari di mana anda betul-betul subur.
Kaedah Lain untuk meramal Ovulasi dengan lebih tepat
Kerana kitaran wanita tidak selalunya tepat 28 hari dan ramai yang mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, jadi tarikh haid mungkin tidak tepat untuk meramal masa subur anda.
Anda boleh menggunakan kaedah di bawah untuk meramal tempoh subur anda iaitu;
1. Perubahan Lendir Faraj
Pada hari subur anda lendir faraj anda lebih jelas, elastik, licin dan mempunyai rupa seperti putih telur. Keadaan semula jadi ini terjadi untuk membantu pergerakan sperma ke dalam rahim dengan lebih laju. Ia terjadi kira-kira 1 hingga 2 hari sebelum anda berovulasi.
2. Suhu Badan Anda Naik (BBT)
Kenaikan suhu badan berlaku menunjukkan anda sudah bertelur disebabkan rembesan hormon progesteron yang banyak selepas ovulasi.
3. Kit Ovulasi
Ia agak tepat dalam meramal ovulasi. Ia mengesan kenaikan hormon LH dengan banyak sebelum terjadi ovulasi. Kit ini boleh dibeli di farmasi.