Soalan
Saya Merancang Untuk Melahirkan Secara Normal. Apa Yang Boleh Saya Jangkakan Akan Berlaku Selepas Bersalin?
Jawapan
Sebaik sahaja bayi dilahirkan, bayi anda akan diletakkan di atas perut anda dan akan dilap dan dibiarkan atas perut anda untuk sentuhan kulit ke kulit. Untuk memastikan dia hangat, bayi akan ditutup dengan selimut hangat kerana bayi kehilangan haba badan dengan cepat.
Sekiranya terdapat banyak lebihan air ketuban pada mulut dan hidung bayi, cairan tersebut akan disedut untuk memastikan bayi boleh bernafas dengan senang.
Anda dan suami anda boleh mengambil kesempatan untuk memegang bayi anda, berinteraksi dengannya untuk meningkatkan rasa ‘bonding’ terhadap bayi anda.
Dalam masa yang sama, anda akan diberikan suntikan untuk menolong mengecutkan rahim. Ini akan mengurangkan risiko pendarahan selepas bersalin dan juga menolong placenta merekah dari rahim dengan senang.
Placenta selalunya akan keluar dalam masa antara 10 hingga 30 minit selepas bayi dilahirkan. Jarang -jarang doktor akan mengurut perut anda untuk memudahkan pengeluaran plasenta.
Doktor akan memeriksa faraj anda untuk melihat sebarang luka. Jika terdapat luka besar atau episiotomi telah dilakukan, doktor akan menjahit luka tersebut selepas memberikan injeksi ubat kebas.
Sementara doktor merawat anda, anda dan suami boleh memegang, menyentuh, mencium dan bercakap dengan bayi anda. Bercakap cakap dengan bayi anda adalah penting kerana bayi sudah mengenali suara anda dan akan berasa tenang dengan bunyi yang ia dikenali.
Selepas itu anda akan dibersihkan sementara dan bayi anda akan dibalut dengan kemas untuk memastikan ia selesa. Gelang pengenalan yang mempunyai nama anda akan diletakkan di pergelangan tangan dan kakinya.
Sesetengah ibu menggigil selepas bersalin dan anda akan diselimutkan dengan blanket panda untuk mengurangkan kesejukkan. Rasa menggigil selalunya hilang dengan sendiri tidak lama kemudian.
Anda digalakkan untuk memulakan susuan badan kerana dalam masa satu jam selepas bersalin adalah itu tempoh terbaik untuk memulakan susuan anda.
Anda boleh meminta makanan jika anda lapar dan sekiranya anda terasa letih anda boleh berbaring dan tidur sementara bayi akan dibawa ke nurseri untuk pemeriksaan.
Anda akan berada di bilik bersalin selama beberapa jam untuk pemantauan terhadap sebarang komplikasi seperti pendarahan dan tekanan darah. Sekiranya anda sudah stabil, anda akan dipindahkan ke wad.