Anda dilabelkan menopos atau putus haid sekiranya sudah tiada haid melebihi 6 bulan. Selepas 6 bulan anda tidak sepatutnya mengalami sebarang pendarahan faraj. Tetapi jika tiba-tiba suatu hari haid anda tiba-tiba datang kembali, ia mungkin petunjuk ada masalah dalam rahim anda.
Punca Pendarahan selepas menopos selalunya ringan dan senang dirawat sekiranya punca diketahui dengan tepat tetapi setiap pendarahan selepas menopos perlu diberikan perhatian segera kerana ia boleh dikaitkan dengan masalah yang lebih serius iaitu Kanser.
Punca Pendarahan
Punca yang kerap dialami termasuklah:
1. Polip: Ketumbuhan bukan kanser ini kerap tumbuh pada pangkal rahim yang boleh menyebabkan pendarahan tidak normal.
2. Atrofi Endometrium dan Faraj : Terjadi disebabkan lapisan faraj menjadi nipis selepas menopos dan senang berdarah apabila bergesel.
3. Jangkitan Kuman: Sebarang Jangkitan kuman boleh menyebabkan pendarahan dalam faraj.
4. Ubat-ubatan: Ubat pencair darah atau ubat Tamoxifen boleh menyebabkan pendarahan faraj.
5. Kanser: 10% dari pendarahan faraj adalah disebabkan oleh kanser
Bagaimana Diagnosa Dijalankan?
Pemeriksaan faraj boleh melihat sebarang ketidaknormalan di dalam faraj termasuk jangkitan kuman atau ketumbuhan pada pangkal rahim. Ujian Pap mungkin akan dibuat pada masa yang sama.
Doktor selalunya akan menyarankan ujian ultrasound melalui faraj untuk memeriksa ketebalan endometrium anda. Jika ia tebal, biopsi mungkin akan disarankan untuk memastikan ia bukan kanser.
Doktor juga akan menyarankan Hysteroscopy iaitu minor surgeri dimana kamera kecil akan dimasukkan ke dalam faraj untuk melihat sebarang ketumbuhan di dalam rahim anda.
Biopsi Endometrium: Tiub nipis digunakan untuk mengambil sampel tisu yang melapisi rahim anda bagi mengesan sel-sel kanser.
D & C: Satu minor surgeri dimana doktor akan menggunakan alat kecil untuk mengikis lapisan rahim anda dan tisu yang diambil akan dihantar ke makmal untuk memastikan ia bukan kanser.
Baca lagi : Hysteroscopy
Bagaimana ia dirawat?
Rawatan bergantung kepada punca pendarahan.
Terapi Estrogen: Hormon ini digunakan untuk merawat atrofi faraj dan endometrium. Ubat antibiotik akan diberikan sekiranya pendarahan disebabkan oleh jangkitan kuman.
Jika ia disebabkan oleh polip, Polypectomy akan dibuat semasa prosedur hysteroscopy.
Pembedahan Hysterectomy akan disarankan sekiranya wanita disahkan mengalami kanser atau pra kanser rahim. Ia akan diikuti oleh rawatan Radiasi, Kemoterapi dan terapi hormon sekiranya kanser sudah merebak dan berada pada peringkat teruk.
Apa Yang Perlu Anda Buat ?
Setiap pendarahan selepas menopos perlu ditangani dengan segera untuk memastikan ia bukan kanser. Jumpa doktor anda hari ini.