Sekiranya anda merancang untuk hamil, masa dirasakan berlalu begitu perlahan untuk anda mendapat keputusan positif pada ujian kehamilan anda. Tanda-tanda sindrom sebelum haid pula seakan sama dengan tanda kehamilan menyebabkan anda menjadi lebih keliru dan sukar membezakan samada ia tanda hamil atau tidak.
Berikut adalah panduan untuk anda membuat tafsiran samada tanda tersebut adalah tanda awal kehamilan atau tidak.
Keputihan Anda Semakin Banyak
Jika anda mendapati jumlah keputihan jernih anda meningkat dengan mendadak, ia mungkin tanda anda hamil. Pastikan ia tidak berbau, tidak gatal dan jernih tanpa warna. Peningkatan lendir ini disebabkan rembesan hormon estrogen yang banyak di awal kehamilan
Pendarahan Faraj yang Kecil dan Senak
Terjadi apabila Janin yang disenyawakan mengalami implantasi pada rahim. Ini boleh menyebabkan pendarahan kecil dan kadang-kadang rasa senak seperti senggugut.
Rasa Letih Berterusan
Rembesan hormon kehamilan yang banyak boleh memberikan rasa letih luar-biasa mungkin satu petanda anda sebenarnya di awal kehamilan.
Sensitif Terhadap Bau
Sekiranya semburan pewangi biasa anda memberi rasa loya atau bau sabun anda berbau busuk, ia mungkin tanda anda hamil.
Rasa Kembung
Rasa kembung sepanjang masa disebabkan usus menjadi tidak aktif dan sukar membuang angin akibat perubahan hormon yang berlaku di awal kehamilan.
Kerap Kencing
Hormon kehamilan yang meningkat menyebabkan anda menyimpan lebih air dan buah pinggang anda lebih aktif menyebabkan anda kerap mahu kencing.
Perubahan emosi
Sukar tidur dan cepat rasa marah dikaitkan dengan perubahan hormon yang boleh menunjukkan anda sebenarnya di awal kehamilan
Payudara Sakit
Jika payudara anda berasa sakit atau puting menjadi pedih apabila bergesel dengan baju, mungkin tanda anda hamil.
Apa yang Perlu Anda Lakukan?
Tanda-tanda ini tidak menjamin seratus peratus yang anda sebenarnya hamil kerana tanda ini juga dikongsi oleh sindrom sebelum haid atau Premenstrual Syndrome (PMS).
JIka anda rasa perlu untuk mengetahui dengan tepat samada anda hamil atau tidak, buat ujian Beta HCG. Ujian darah ini dengan mudah dapat mempastikan anda hamil atau tidak seawal 3 minggu.