Mirena adalah alat kontrasepsi berhormon (IUD) yang dimasukkan di dalam rahim untuk mencegah hamil dan bertindak dalam jangka masa yang lama.Mirena berbentuk huruf T dan merembeskan hormon progestin dalam dos yang kecil tetapi berterusan.
Mirena memekatkan lendir serviks untuk menghalang sperma daripada sampai salur fallopian seterusnya menghalang persenyawaan dengan telur.
Mirena juga bertindak menipiskan lapisan rahim dan menghalang implantasi dari berlaku. Mirena menghalang kehamilan dari berlaku sehingga lima tahun selepas dimasukkan.
Mirena menawarkan cara merancang keluarga yang berkesan dalam jangka panjang yang panjang. Mirena juga sesuai digunakan untuk mereka yang mengalami haid yang banyak dan tidak lagi berhasrat untuk melahirkan anak. Mirena juga kerap disarankan kepada mereka yang mengalami kesan sampingan dengan IUD biasa seperti Multiload.
Kelebihan dan Manfaat Mirena termasuk
- Tidak perlu ingat dan berdisiplin sepertimana pil perancang.
- Tidak memerlukan penglibatan dari suami seperti mana kondom.
- Kekal di dalam rahim sehingga lima tahun
- Boleh dikeluarkan pada bila-bila masa sebelum 5 tahun dan kesuburan pulih serta merta
- Mengurangkan pendarahan dan aliran haid
- Mengurangkan senggugut
- Mengurangkan risiko penyakit jangkitan pelvis yang disebabkan oleh jangkitan kelamin kerana mukus tebal menghalang jangkitan bakteria.
- Mengurangkan risiko kanser endometrium dan mungkin juga kanser serviks
- Sesuai digunakan semasa menyusukan bayi
- Tidak membawa risiko kesan sampingan yang berkaitan dengan kaedah perancang keluarga yang mengandungi estrogen
Siapa yang tidak sesuai memakai Mirena
Walaupun penggunaan Mirena sangat berkesan dan selamat, tidak semua wanita sesuai memakai Mirena. Doktor anda mungkin tidak menggalakkan penggunaan Mirena jika anda:
- Mempunyai sejarah kanser payudara
- Mempunyai barah rahim atau serviks
- Mempunyai penyakit hati
- Mempunyai masalah ketumbuhan pada rahim seperti fibroid
- Mempunyai jangkitan pelvis aktif atau mempunyai sejarah penyakit keradangan pelvis
- Mempunyai pendarahan faraj yang belum diketahui sebabnya.
- Alergi kepada mana-mana komponen Mirena seperti hormon progestin.
Sebelum pemakaian, pastikan anda memberitahu doktor jika anda:
- Mengambil apa-apa ubat-ubatan seperti ubat tradisional atau produk herba
- Mempunyai diabetes atau tekanan darah tinggi
- Mempunyai masalah jantung atau pernah mempunyai serangan jantung
- Mempunyai migrain yang teruk
- Mempunyai masalah pembekuan darah atau telah pernah mengalami strok
Kelemahan Mirena
- Wanita berisiko untuk mengalami kehamilan ektopik sekiranya hamil semasa menggunakan Mirena.
- Mirena tidak menawarkan perlindungan daripada jangkitan kelamin (STI).
Kesan sampingan Mirena
Kesan-kesan sampingan yang dikaitkan dengan Mirena termasuk:
- Sakit kepala
- Tumbuh Jerawat
- Haid menjadi tidak teratur
- Ketiadaan haid terutamanya selepas satu tahun penggunaan
- Perubahan Emosi
- Naik berat badan
- Kekejangan atau sakit pelvis
Risiko Mirena Terkeluar Sendiri ( Expulsion)
Ada 4% risiko yang Mirena terkeluar sendiri dan wanita lebih cenderung mengalami risiko ini termasuk:
- Mempunyai sejarah haid yang banyak dan berpanjangan
- Mempunyai senggugut teruk sebelum pemakaian
- Mirena dimasukkan sebaik selepas melahirkan atau keguguran
- Mirena dimasukkan sebaik selepas melahirkan anak atau keguguran
Anda dinasihatkan membuka Mirena sekiranya terjadi:
- Jangkitan pelvis selepas kemasukan
- Endometritis- Jangkitan kuman pada lapisan rahim
- Mengalami endometrium atau kanser serviks
- Peningkatan yang ketara dalam tekanan darah
Bagaimana Mirena di Masukkan
Mirena biasanya dimasukkan di klinik doktor. Doktor akan memasukkan spekulum ke dalam faraj anda dan membersihkan faraj dan serviks anda dengan ubat antiseptik. Kemudian, dengan menggunakan alat doktor perlahan-lahan untuk mengukur kedalaman rongga rahim anda.
Seterusnya, dengan menggunakan aplikator khas, Mirena diletakkan dengan berhati hari dalam rahim anda. Apabila tiub aplikator dikeluarkan, Mirena akan kekal di dalam rahim anda. Doktor anda akan memotong tali Mirena supaya ia tidak terlalu panjang.
Semasa kemasukan Mirena, anda mungkin mengalami kekejangan perut, pening dan rasa loya. Dalam kes yang sangat jarang, Mirena menembusi dinding rahim dan terkeluar ke dalam pelvis. Sekiranya ini terjadi, pembedahan untuk membuang Mirena akan dilakukan.
Selepas prosedur
Sebulan sekali, cuba rasa tali Mirena samada ia lebih panjang dari biasa. Selepas satu bulan, doktor biasa akan memeriksa anda semula untuk memastikan Mirena tidak bergerak dari rahim dan memeriksa samada terdapat tanda-tanda jangkitan kuman.
Hubungi doktor anda dengan segera jika anda:
- Anda rasa anda hamil selepas pemasangan.
- Berlaku pendarahan faraj yang berterusan
- Mempunyai sakit perut atau sakit semasa seks
- Mempunyai demam yang berterusan dan tidak tahu punca
- Mengalami keputihan yang berbau busuk
- Mengalami sakit kepala yang teruk atau migrain
- Mempunyai kekuningan kulit atau mata
- Terkena jangkitan kuman kelamin
- Anda tidak lagi merasa tali Mirena
- Terasa ada benda keras dalam faraj anda
Pengeluaran Mirena
Mirena boleh kekal di dalam rahim sehingga lima tahun. Untuk mengeluarkan Mirena, doktor anda mungkin akan menggunakan alat forsep dengan menarik keluar tali Mirena. Ia cuma memakan masa kurang dari 5 minit.
Sedikit pendarahan dan kekejangan adalah perkara biasa semasa pengeluaran. Jarang-jarang Mirena sukar untuk dikeluarkan disebabkan tali sudah putus atau tidak lagi dijumpai, jadi prosedur kecil menggunakan Hysteroscopy mungkin perlu dibuat
Keberkesanan Mirena
Mirena sangat berkesan dengan kadar kehamilan cuma 1 dalam 1000.
Tinggalkan Jawapan kepada drju Batal balasan