
Episiotomi adalah prosedur yang dibuat dengan menghiris faraj anda semasa saat bayi hampir keluar dari faraj (crowning). Ia dahulunya dibuat untuk mempercepatkan proses bersalin dan juga dikatakan boleh mengurangkan risiko faraj koyak dengan banyak.
Episiotomi adalah merupakan sebahagian daripada prosedur yang rutin pada masa dahulu tetapi sekarang episiotomi tidak lagi diterima pakai sebagai sebahagian dari prosedur yang mesti dibuat semasa bersalin. Kajian terbaru menunjukkan ia boleh mendatang lebih keburukan dari kebaikan.
Kalau dulu episiotomi dibuat dengan lebih kerap pada lingkungan 65% wanita terutama kepada yang melahirkan anak sulung, kini kadar episiotomi menjadi semakin kurang.
Pada tahun 2006, American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) mengeluarkan cadangan iaitu episiotomi tidak sepatutnya dibuat secara rutin dan mensasarkan penggunaannya di bawah 5 peratus.
Tip untuk mengelakkan daripada luka besar semasa bersalin
Senaman Kegel akan membuat otot pelvis menjadi kuat dan menyokong perineum anda menjadi sukar untuk koyak. Anda juga boleh membuat Urutan Perineal bermula pada usia kandungan 34 minggu. Semasa bersalin, anda boleh meletakkan pad panas pada perineum untuk melembutkan tisu dan menyebabkan ia lebih lentur.
Bila episiotomi menjadi penting
Walau pun kita tidak lagi mengesyorkan episiotomi secara rutin, perlu diingatkan bahawa terdapat situasi tertentu mungkin memerlukan penggunaan episiotomi seperti berlaku kadar degup jantung yang turun semasa peringkat kedua dan juga keadaan yang dipanggil ‘shoulder dystocia’. Di mana bahu bayi tersangkut selepas kelahiran kepala dan ia boleh menjadi perkara yang sangat serius. Penggunaan episiotomi dapat membantu bayi keluar lebih cepat dan mudah, mengurangkan kemungkinan trauma kelahiran.