Apa itu Pembedahan Myomectomy?
Myomectomy adalah pembedahan untuk membuang fibroid. Ini adalah prosedur pilihan bagi wanita yang mempunyai masalah akibat dari fibroid dan tidak mahukan pembedahan buang rahim atau Histerektomi.
Myomectomy boleh dilakukan dengan 2 cara:
- Secara Laparatomi iaitu Pembedahan Terbuka
- Secara Laparoskopi iaitu Pembedahan Key-Hole
Myomectomy Laparoskopi menawarkan banyak kelebihan berbanding Pembedahan Terbuka, antaranya seperti:
- Kadar pulih yang lebih cepat
- Tempuh tinggal di hospital yang singkat
- Parut yang kecil
- Kurang risiko perlekatan dalam pelvis
Adalah kaedah Laparoskopi Myomectomy sesuai untuk semua jenis Fibroid?
Jika fibroid anda lebih besar dari 10 cm, kaedah laparoskopi akan menjadi sukar dan boleh memakan masa melebihi 3 jam.
Jika terdapat parut yang keterlaluan dalam pelvis dan pembuangan Fibroid menjadi sukar, mungkin doktor akan menyarankan pembuangan melalui Pembedahan Terbuka untuk mengurangkan risiko luka pada organ sekeliling.
Pembedahan Terbuka : Pendekatan ini digunakan apabila saiz Fibroid melebihi 10 cm dan atau fibroid berbilang. Doktor selalunya akan membuat hirisan bikini tapi sekiranya ia terlalu besar, hirisan tengah mungkin akan dicadangkan.
Risiko Pembedahan
Komplikasi boleh dibahagikan kepada komplikasi minor dan serius.
Komplikasi Minor
Komplikasi Minor yang kerap terjadi termasuklah:
- Bengkak dan lebam pada kawasan hirisan- selalunya hilang selepas 1 minggu.
- Jangkitan kuman terutama pada sekitar pusat
- Pendarahan kecil atau lebam pada tempat luka
- Sakit pada bahu
Komplikasi Serius
Fibroid Rahim mengandungi banyak aliran darah di dalamnya dan jadi ia sangat mudah terdedah kepada pendarahan semasa proses pengeluaran. Disebabkan risiko ini, pesakit selalunya diberi penjelasan awal tentang risiko pemindahan darah sekiranya tumpah darah berlaku.
Luka pada Arteri utama juga boleh menyebabkan pendarahan yang banyak. Dalam kes yang jarang terjadi, sekiranya pendarahan tidak dapat dikawal, pembedahan Histerektomi mungkin akan dijalankan.
Risiko lain termasuk luka pada organ dalaman seperti usus atau pundi kencing.
Komplikasi yang timbul daripada penggunaan Karbon Dioksida semasa prosedur, seperti buih gas memasuki urat vena anda yang boleh menyebabkan embolism dan juga reaksi alahan serius terhadap ubat bius umum.
Risiko komplikasi menjadi lebih tinggi sekiranya anda pernah menjalani pembedahan sebelumnya kerana parut pembedahan lama boleh melekat pada usus dan organ sekitar.
Bincang dengan doktor tentang pembedahan alternatif lain sekiranya anda berisiko tinggi.
Bagaimana Fibroid dikeluarkan?
Satu alat khas yang dipanggil Morcellator digunakan untuk memotong Fibroid kepada saiz yang lebih kecil dan menyenangkan ia disedut keluar dari abdomen.
Bagaimana dengan proses pemulihan selepas pembedahan?
Anda akan tinggal di hospital selama 24 hingga 48 jam dan bergantung kepada respon anda terhadap kesakitan. Anda mungkin akan berasa tidak selesa semasa bergerak, tetapi doktor akan memberikan ubat untuk mengurangkan kesakitan anda.
Pendarahan ringan Faraj kerap terjadi selepas pembedahan tapi ia selalunya akan hilang dengan perlahan-lahan. Ada juga yang mengalami sakit bahu tapi ini juga akan hilang dengan sendiri.
Jika anda berasa letih, teruskan rehat anda. Tetapi anda akan dibenarkan makan dan minum seperti biasa, berjalan-jalan dan pergi ke tandas dengan pertolongan jururawat.
Anda selalunya akan dibenarkan pulang dari hospital selepas 24 hingga 48 jam.
Untuk tiga hari pertama di rumah, anda disyorkan untuk mengambil ubat tahan sakit. Anda boleh mandi, bergerak dan berjalan-jalan tetapi elak dari mengangkat beban berat.
Anda juga perlu banyak rehat dan tidur dengan cukup. Makan Multivitamin untuk pemulihan yang lebih cepat. Anda akan beransur-ansur pulih dan dalam masa 4 minggu akan dapat berkerja seperti biasa.
Doktor selalunya akan memberikan temu janji 1 dan 4 minggu selepas pembedahan.