Anda mungkin sudah tahu bahawa bakteria sentiasa hadir di dalam badan anda. Kebanyakkan bakteria ini sebenarnya baik dan hidup dalam badan dengan tujuan memastikan anda sihat.
Bakteria baik ini atau dinamakan Normal Flora penting untuk mengawal pertumbuhan dan pembiakan bakteria jahat dan seterusnya menghalang kita dari mendapat jangkitan.
Vaginosis Bakteria adalah suatu keadaan di mana kehidupan Normal Flora dalam vagina terganggu yang membawa kepada pertumbuhan spesies bakteria berbahaya dan seterusnya mendorong wanita untuk mendapat jangkitan kuman.
Terlalu banyak bakteria berbahaya boleh menyebabkan jangkitan menular dan menjadi serius.
Gejala Vaginosis Bakteria
Pesakit selalunya akan mengalami sedikit keputihan kelabu dari faraj yang berbau seperti ikan mentah (fishy odor). Ada juga wanita menyatakan rasa sakit ketika membuang air kecil atau rasa gatal pada kemaluan, manakala wanita lain pula langsung tidak mempunyai sebarang gejala.
Vaginosis Bakteria Vs Jangkitan Yis
Bakteria Vaginosis tidak boleh disamakan dengan Jangkitan Yis. Jangkitan Yis boleh menyebabkan gatal-gatal pada faraj tetapi ia kerap dikaitkan dengan keputihan yang lebih tebal.
Jangkitan Yis adalah disebabkan oleh kulat dan bukan jenis bakteria, jadi rawatan adalah berbeza. Jangkitan Yis juga tidak dikaitkan dengan risiko keguguran.
Kadar Jangkitan Bakteria Vaginosis (BV)
Bakteria Vaginosis (BV) sangat kerap terjadi. Penyelidik mendapati hampir 33% wanita adalah positif terhadap Bv terutama pada wanita sekitar usia 15 hingga 44 tahun.
Wanita yang mempunyai berbilang pasangan seks paling berisiko untuk mendapat jangkitan ini.
Rawatan
Pesakit akan dirawat dengan antibiotik. Adalah penting untuk merawat jangkitan BV, kerana jika ia tidak dirawat, ia akan meningkatkan risiko anda dijangkiti oleh penyakit kelamin lain, seperti HIV, Chlamydia atau Gonorrea.
Risiko Semasa Kehamilan
Penyelidik mendapati terdapat kaitan di antara BV dan masalah kehamilan. Beberapa kajian mendapati bahawa mempunyai jangkitan BV meningkatkan risiko melahirkan bayi kurang berat badan (bayi yang berat kurang daripada 2.5kg) dan kelahiran bayi pra-matang (sebelum minggu 37 kehamilan).
Kajian juga menemui kaitan antara Vaginosis Bakteria dan keguguran pada trimester kedua.
Jika anda mengesyaki anda mungkin mempunyai jangkitan BV jumpa doktor anda hari ini untuk diagnosa dan rawatan.