Peranan Progesteron Pada Awal Kehamilan
Progesteron adalah hormon semulajadi yang dirembeskan oleh ovari. Semasa kitaran haid, paras progesteron meningkat selepas ovulasi untuk membantu membina dan mengekalkan lapisan dalam rahim agar implantasi berlaku dengan sempurna.
Rembesan hormon yang berterusan dari ovari merangsang janin tumbuh dengan baik di dalam rahim semasa trimester pertama sehinggalah fungsi ini diambil alih oleh placenta pada minggu 10 kehamilan.
Keguguran dikaitkan dengan tahap progesteron yang rendah. Persoalan yang timbul adalah, adakah tahap progesteron rendah menyebabkan keguguran atau keguguran itu sendiri yang menjurus kepada tahap progesteron rendah?
Ia satu soalan yang tidak mudah dijawab. Disebabkan kepercayaan yang kekurangan progesteron mungkin penyebab kepada keguguran, ramai doktor mula memberikan rawatan progesteron untuk mengelakkan wanita dari gugur walaupun setakat ini tiada bukti kukuh terhadap manfaat progesteron dalam mengurangkan risiko keguguran.
Adakah Progesteron Berkesan Mencegah Keguguran?
Setakat ini bukti kukuh masih tidak ada. Walau bagaimanapun, bagi kehamilan yang terhasil dengan bantuan teknologi ART atau IVF (Bayi Tabung Uji) , Suplemen Progesteron menjadi penting dan disarankan oleh kebanyakkan pakar bagi membantu meningkatkan kejayaan IVF.
Suplemen Progesteron juga disarankan kepada wanita yang telah mengalami tiga atau lebih keguguran walaupun bukti masih samar samada ia berkesan atau tidak.
Walaupun progesteron selamat diambil semasa hamil, sesetengah doktor bimbang pengambilan progesteron boleh melambatkan keguguran yang sudahpun terjadi secara semulajadi.