Tidak semua kehamilan berjalan lancar sebagaimana yang diharapkan kerana setiap wanita berbeza dan mempunyai ciri kehamilan yang tidak sama.
Jika doktor anda mencadangkan anda perlu di-induce, ia bermaksud adalah lebih selamat untuk kehamilan anda berakhir lebih awal dari sepatutnya kerana sebab-sebab yang tertentu.
Mengapa saya perlu di- induce?
Banyak sebab kehamilan perlu di-induce tetapi secara umum ia disarankan bila terdapat kebimbangan bahawa kesihatan anda dan anak dalam kandungan anda tergugat.
Induce atau Induction of labour (IOL) bertujuan untuk merangsang pengecutan rahim sebelum proses bersalin bermula secara semulajadi dengan harapan pesakit bersalin secara normal.
Sebab-sebab induksi yang paling kerap dilakukan termasuk
- Anda terlebih hari atau Post date
- Pecah Air Ketuban
- Air Ketuban kurang (Oligohydramnious)
- Anda ada Kencing Manis
- Anda ada Darah Tinggi
Bagi mereka yang tidak mengalami sebarang masalah perubatan, adalah selamat menunggu sehingga 42 minggu dengan syarat bayi anda berada dalam keadaan memuaskan. Doktor selalunya akan memantau tumbesaran dan keadaan bayi untuk memastikan ia dalam keadaan sihat.
Sekiranya anda masih tiada tanda bersalin, doktor akan menyarankan IOL kerana menunggu lebih lama akan meninggi risiko komplikasi seperti kekurangan air ketuban dan peningkatan berat badan bayi yang menjurus kepada risiko pembedahan c-seksyen. Risiko lain termasuk risiko bayi terberak mekonium yang boleh membawa kepada komplikasi kematian bayi yang tinggi.
Bolehkah saya meminta untuk di-induce?
Terdapat beberapa faktor selain dari masalah perubatan dimana wanita mungkin memilih untuk di induce. Sebagai contoh jika wanita tinggal jauh dari hospital atau mempunyai sejarah melahirkan anak terlalu cepat boleh meminta untuk di-induce kerana mereka berisiko untuk melahirkan anak semasa dalam perjalanan ke hospital atau di dalam kenderaan.
Dalam kes sebegini, usia kandungan bayi anda mesti sekurang-kurangnya 38 minggu untuk mengurangkan risiko ter-induce bayi kurang matang.
Bolehkah saya melakukan “induce” sendiri secara semulajadi?
Tidak. Setakat ini tiada cara anda boleh melakukan induce sendiri. Teknik seperti bersenam, banyak berjalan, melakukan aktiviti fizikal atau melakukan hubungan seks untuk mendorong saat bersalin bermula tidak disokong oleh bukti saintifik.
Apakah risiko induce?
Induce bukan untuk semua orang dan ia mempunyai risikonya yang tersendiri
1. Risiko Gagal
Terdapat 25 peratus risiko induksi menjadi gagal dimana anda tiada tindak-balas terhadap ubat yang digunakan semasa induksi. Kemungkinan besar anda akan disarankan untuk menjalani pembedahan caesarean.
2. Rahim menjadi hiperaktif
Pada segelintir wanita, ubat induksi memberikan tindak balas keterlaluan terhadap rahim menyebabkan kontraksi berterusan yang boleh mengurangkan bekalan oksigen kepada bayi. Ini boleh menjurus kepada ‘fetal distress’ seterusnya pembedahan caesarean.
3. Jangkitan kuman
Beberapa kaedah induksi seperti memecahkan ketuban anda akan meningkatkan risiko jangkitan terhadap ibu dan bayi.
4. Rahim terkoyak
Ini adalah komplikasi yang jarang berlaku tetapi serius di mana rahim koyak pada parut pembedahan caesarean terdahulu. Ini boleh membahayakan nyawa dan tumpah darah.
5. Tumpah darah selepas bersalin.
Induksi meningkatkan risiko pendarahan kerana kemungkinan rahim anda kurang responsif terhadap ubat yang menolong rahim anda mengecut selepas bersalin.
Apa yang anda perlu buat sekiranya anda dinasihatkan oleh doktor anda untuk induce?
IOL adalah keputusan yang besar dan dianggap serius. Bincang dengan doktor tentang pro anda kontra yang ada sekiranya anda betul-betul memerlukan prosedur ini.