Ultrasound (US) adalah alat pantauan utama bagi doktor untuk menentukan kesihatan bayi dalam rahim tetapi fungsi US tidak berakhir di situ sahaja. Ramai ibubapa yang menggunakan US untuk mengetahui samada bayi yang dikandungi lelaki atau perempuan.
Tetapi berapa tepat US boleh mengenal pasti jantina bayi?
Sebenarnya ia cukup tepat. Satu kajian baru-baru ini mendapati bahawa 98 peratus jantina bayi boleh diteka dengan tepat terutama dengan teknologi ultrasound yang terbaru.
Namun demikian, ketepatan ultrasound ini bergantung kepada beberapa faktor, termasuklah:
Usia Kandungan
Jantina boleh dikesan seawal 13 minggu kehamilan tetapi anda mungkin mahu menunggu sehingga 18 minggu kerana pada peringkat awal kehamilan vulva, zakar dan skrotum masih begitu kecil dan sukar dilihat.
Kedudukan Bayi
Jika bayi anda tidak ingin bekerjasama semasa ultrasound, diagnosa menjadi sukar. Kedudukan meniarap atau peha yang tertutup rapat menyukarkan doktor untuk melihat ruang pada celah kangkang. Imej yang tidak jelas menyukarkan doktor mempastikan dengan tepat jantina bayi anda.
Hamil Kembar
Jika anda hamil anak kembar dua atau kembar tiga (atau lebih) membuat penentuan jantina setiap bayi lebih sukar.
Saiz Badan Anda
Jika anda berbadan besar, menentukan jantina janin sudah pasti lebih sukar kerana Imej menjadi samar disebabkan ketebalan lemak menghadkan gelombang bunyi sampai ke bayi dan tekaan menjadi sukar.
Kesimpulannya, ketepatan US memang sudah terbukti untuk meneka jantina bayi anda.