Soalan: Saya sekarang pada 39 minggu kehamilan, terdapat perubahan ketara pada kadar pergerakan bayi, adakah ia normal?
Pada lewat trimester ke 3, badan anda sudah semakin bersedia melahirkan bayi dalam kandungan anda kerana ia sudah semakin matang. Banyak sudah perubahan yang anda sudah alami sepanjang 10 bulan kehamilan termasuk tendangan bayi yang semakin kuat.
Jadi apabila bayi anda semakin tidak aktif sudah tentu anda akan merasa bimbang.
Bagi kehamilan yang sihat dan normal, ia adalah agak biasa untuk tidak berasa pergerakan sepertimana pada awal kehamilan anda kerana ruang yang sudah padat menyukarkan bayi untuk membuat pergerakan yang besar. Semakin besar bayi semakin sukar untuk ia bergerak bebas disebabkan ruang yang semakin sempit.
Walaubagaimanapun, kekerapan pergerakan bayi sepatutnya tetap sama cuma intensiti sahaja yang berkurangan.
Bagaimana memantau pergerakan bayi anda
Untuk memudahkan pengiraan, tentukan masa dimana bayi anda bergerak paling aktif (selalunya ia sejurus selepas anda makan).
Cari tempat yang sunyi tanpa sebarang gangguan seperti TV, telefon atau radio yang boleh menganggu konsentrasi anda.
Dapatkan kedudukan yang selesa sama ada anda duduk di kerusi atau berbaring di atas katil. Catatkan masa semasa pergerakan pertama bayi dan apabila sudah cukup 10 kali pergerakan.
Jika anda dapat merasai 10 kali pergerakan dalam tempoh dua jam bayi anda sebenarnya aktif dan anda jangan risau,
Jika anda tidak merasakan bayi anda bergerak 10 kali menjelang akhir dua jam, cuba minum segelas air manis dan berbaring sebelah kiri. Sekiranya bayi anda masih kurang aktif, berjumpa doktor anda dengan segera.
Doktor anda mungkin melakukan ujian CTG (Cardiotocography) untuk menyemak kadar dan corak degupan jantung dan juga pergerakan bayi anda. Graf yang aktif akan menunjukkan bayi berada dalam keadaan memuaskan.
Kurang pergerakan bayi dikaitkan dengan kekurangan aliran oksigen dari ibu ke anak yang boleh menjurus kepada kematian bayi jika tidak dikesan pada peringkat awal tetapi ini sangat jarang berlaku.