Menyusu badan tidak sepatutnya menyakitkan sebaliknya ia boleh memberikan rasa ‘bonding’ terhadap bayi anda. Jadi perkara terakhir yang anda mahu adalah kesakitan ketara semasa menyusu.
Adakalanya apabila anda mengepam susu anda, terdapat sedikit darah dalam susu anda, jika anda tidak merasa sakit, ia bukan tanda anda mengalami luka pada puting.
Sedikit darah pada susu menunjukkan peningkatan aliran darah pada payudara yang meninggikan kadar pertumbuhan tisu susu yang bertindak-balas terhadap permintaan penyusuan yang tinggi.
Mengapa puting luka ?
Terdapat beberapa sebab mengapa puting merekah dan luka
Teknik Menyusu Yang Salah
Mulut bayi tidak melekap dengan betul pada puting susu anda. Pastikan keseluruhan areola (kawasan hitam sekitar puting) berada dalam mulut bayi.
Bawa badan bayi ke arah payudara. Badan anda perlu tegap dan tidak membengkok semasa menyusu. Anda dan bayi perlu selesa semasa proses menyusuan.
Kulit Puting Kering
Mempunyai kulit yang sangat kering atau ekzema boleh menyebabkan puting merekah, sakit dan berdarah. Elak dari menggunakan krim, losyen, sabun atau minyak wangi kerana ia boleh memberikan alahan pada kulit.
Penggunaan Pam Susu Yang Salah
Menggunakan pam payudara tidak betul boleh melukakan puting. Gunakan dengan kuasa sedutan yang ringan dahulu dan secara perlahan-lahan tinggi kuasa mengepam. Pastikan puting anda berada pada tengah corong pam dan tidak bergesel dengan corong.
Rawatan
Sapukan beberapa titik susu ibu pada puting anda. Susu ibu mengandungi bahan yang membantu penyembuhan dan melawan jangkitan. Buat dengan kerap.
Jangan gunakan sabun untuk membersihkan puting susu anda kerana ia akan memusnahkan rembesan semulajadi pada puting yang membantu mengurangkan risiko jangkitan kuman pada puting anda seterusnya menghalang puting anda dari merekah.
Jumpa doktor sekiranya sakit menjadi lebih teruk. Doktor selalunya akan menyarankan ubat sapu yang sesuai untuk anda.
Adakah selamat untuk saya menyusukan bayi saya jika puting luka dan merekah?
Ia selamat. Luka puting mungkin berdarah semasa menyusu dan ia masih selamat walaupun bayi anda tertelan susu tersebut.
Makan Panadol atau mefenemic acid untuk mengurangkan sakit.
Anda juga boleh menggunakan ‘nipple shield’ untuk mempercepatkan proses penyembuhan. Ia boleh dibeli di farmasi.
Pastikan mulut bayi anda melekap dengan dengan sempurna kerana lekapan yang baik membantu aliran susu yang banyak dan dapat memendekkan tempoh penyusuan. Ini membantu puting anda pulih dengan cepat.
Sekiranya sukar untuk anda meneruskan penyusuan kerana terlalu sakit, perah susu anda dan simpan perahan tersebut dalam botol susu. Gunakan susu yang disimpan untuk diberikan kembali kepada bayu anda.
Selalunya puting yang luka akan beransur pulih dengan sendiri selepas 7-10 hari tanpa sebarang rawatan.