Dermoid cyst atau teratoma matang adalah sejenis ketumbuhan pada ovari yang kerap terjadi pada wanita dan dengan kadar kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan ketumbuhan ovari. Ia bersifat ketumbuhan bukan kanser dan sering dijumpai di kalangan wanita muda. Kira-kira 10 peratus daripada kes-kes dermoid cyst didapati pada kedua-dua belah ovari. Dermoid cyst adalah sista ovari yang agak aneh kerana ia mengandungi pelbagai jenis tisu di dalamnya.
Tisu-tisu ini sebenarnya terjadi daripada satu sel tunggal yang mempunyai potensi untuk membentuk perbagai tisu di dalam badan seperti kelenjar peluh, rambut, tulang rawan dan juga gigi. Tisu tiroid dan gentian otot juga boleh ditemui pada cyst ini. Pesakit dermoid selalunya tidak mengalami sebarang gejala dan diagnosa selalunya dibuat secara kebetulan seperti semasa pemeriksaan rutin pelvis.
Walau bagaimanapun pesakit akan mengalami kesakitan yang teruk sekiranya ia terbelit (torsion), pecah atau berlaku jangkitan kuman. Dermoid cyst sekiranya tidak dibuang, akan membesar dan boleh memberikan tekanan pada pundi kencing dan usus, seterusnya menyebabkan pesakit kerap kencing dan sukar membuang air besar.
Rawatan selalunya melibatkan pembedahan untuk membuang dermoid cyst sahaja. Sekiranya ia telah terlalu besar dan keseluruhan ovari sudah terjejas, pembedahan membuang ovari yang terlibat akan dilakukan. Pakar bedah selalunya menggunakan kaedah laparoskopi (pembedahan menggunakan alat-alat kecil melalui tebukan kecil pada perut) atau laparotomi (pembedahan biasa). Bagaimanapun ia bergantung kepada saiz dan lokasi dermoid serta kemahiran pakar bedah itu.
Dermoid cyst juga kerap ditemui pada wanita hamil dan diagnosa selalunya semasa pemeriksaan Ultrasounds di awal kehamilan. Sekira cyst bersaiz kecil biasanya tidak akan memberikan masalah kepada kehamilan atau menjejaskan kesihatan bayi, tetapi jika ia terlalu besar, Dermoid boleh menyebabkan komplikasi semasa proses bersalin dan pembedahan cesarean mungkin akan disarankan. Pembuangan Dermoid tidak seharusnya menjejaskan kesuburan wanita sekiranya cuma tisu dermoid sahaja yang dibuang atau salah satu ovari sahaja yang terjejas.
Wanita masih berovulasi seperti biasa dan kitaran haid sepatutnya tidak terjejas selepas pembedahan. Dermoid cyst berpotensi untuk tumbuh kembali dan dalam kes yang sangat jarang, ia boleh bertukar menjadi barah. Oleh itu sebaik-baiknya pesakit dinasihatkan untuk memantau kehadiran cyst ini dengan membuat pemeriksaan kesihatan secara rutin.