Haid saya teratur tetapi mengapa saya masih belum hamil ?

gugur03

Jadi, anda telah cuba untuk hamil berbulan bulan lamanya, tetapi belum ada rezeki. Haid anda tetap dan anda membuat hubungan seks dengan kerap. Anda tertanya tanya, apa sebenarnya yang berlaku?

Tidak berovulasi ( tidak bertelur)  adalah penyebab utama kenapa wanita sukar hamil, tetapi sekiranya haid anda teratur sudah jelas anda mengalami ovulasi (bertelur) setiap bulan.

Berikut adalah 8 sebab kenapa anda gagal hamil walaupun anda tiada masalah anovulasi :

1. Anda mencuba belum cukup lama

Tidak semua wanita hamil dengan cepat. Kajian menunjukkan cuma 20% wanita pada bulan pertama mencuba dan 70% selepas 6 bulan mencuba dan 85% akan hamil selepas 1 tahun.

Walaubagaimanapun anda di sarankan berjumpa doktor selepas 6 bulan mencuba untuk pemeriksaan pelvis sekiranya anda berusia 35 tahun dan bagi mereka yang berusia bawah 35 tahun selepas 1 tahun mencuba.

2. Usia sudah meningkat

Usia memberikan peranan penting kerana wanita akan menjadi kurang subur selepas berusia 35 tahun disebabkan kekurangan kualiti telur. Masalah ini akan menjadi lebih ketara sekiranya pasangan anda berusia 5 tahun atau lebih dari anda kerana sperma yang kurang kualiti. Jadi bagi wanita yang berumur, anda disarankan untuk berjumpa pakar selepas 6 bulan mencuba untuk hamil.

3. Masalah Air mani

30-40% penyebab sukar hamil adalah berpunca dari pasangan/suami anda. Kebanyakan lelaki tidak mempunyai tanda tanda yang mereka mempunyai masalah kesuburan, cuma ujian air mani sahaja yang boleh menentukan kesihatan sperma mereka. Jadi pastikan anda membuat pemeriksaan air mani untuk suami atau pasangan anda untuk memastikan dia tiada masalah sperma yang tidak normal dari segi bilangan dan rupa.

4. Tiub fallopio atau salur peranakana anda tersumbat

Sekiranya anda tidak tahu apa itu tiub fallopio, ia adalah laluan yang menyambungkan ovari dan rahim, sekiranya tiub fallopio tersumbat, tidak akan terjadi persenyawaan diantara sperma dan telur.

Sperma perlu berenang dari dalam faraj ke rahim, dan seterusnya ke dalam tiub fallopio. Apabila telur dilepaskan dari ovari, unjuran seperti rambut dari tiub fallopio menarik telur di dalam laluan tiub fallopio dimana sperma dan telur akan bersenyawa. Jika terdapat masalah yang boleh menghalang tiub fallopio dari berfungsi dengan betul atau ia tersumbat, anda akan sukar untuk hamil.

Baca lagi : Tanda Tanda Salur Peranakan Anda Tersumbat

Terdapat banyak sebab yang mungkin tiub fallopio tersumbat di antaranya.

  • Hydrosalpinx- Keadaan dimana tiub fallopian tersumbat, bengkak dan mengandungi air.
  • Parut pada pelvis disebabkan pembedahan dahulu yang menukar anatomi pelvis anda
  • Jangkitan kuman terutamanya kuman yang berjangkit melalui seks.

5. Anda ada Endometriosis

Endometriosis adalah keadaan dimana lapisan tisu endometrium yang tumbuh pada dinding rahim, juga tumbuh di luar rahim. Dianggarkan 50% dari penghidap endometriosis sukar hamil. Gejala termasuk sakit sengugut dan ramai juga yang tiada ada gejala langsung. Endometriosis sukar dikesan di peringkat awal kejadian dan ia memerlukan pembedahan laparoscopy untuk membuat diagnosa yang tepat.

6. Masalah Perubatan

Masalah perubatan seperti kencing manis, tiroid, autoimmun (SLE) boleh menyebabkan anda sukar hamil. Pastikan anda mengawal penyakit ini dengan mendapat rawatan pakar perubatan sebelum mengambil keputusan untuk hamil

7. Ada masalah pada rahim anda

Sekiranya anda mengidap fibroid terutama jenis fibroid submucosal atau sebarang ketumbuhan dalam rahim seperti polip ia akan menyukarkan anda untuk hamil. Ada juga yang dilahirkan dengan anatomi rahim yang tidak normal seperti rahim bercabang, berseptum dan sebagainya yang menjurus kepada kesukaran hamil.

8. Ketidak-suburan yang tidak dapat dijelaskan

Di antara 25% hingga 30% daripada pasangan tidak dapat diketahui mengapa mereka tidak boleh hamil. Walaupun semua ujian telah dibuat, doktor tidak dapat mengesan sebab yang pasti kenapa anda tidak hamil.

Apa yang perlu anda buat?

Sekiranya haid anda teratur, kemungkinan besar anda tiada masalah ovulasi. Jumpa doktor untuk pastikan punca sebenar ketidak-suburan. Ujian Ultrasound, ujian air mani dan darah mungkin dapat mengesan masalah anda dan rawatan yang sesuai dan tepat akan dapat diberikan. Jangan tunggu kerana masalah anda mungkin akan menjadi lebih teruk sekiranya anda berlengah.

126 comments

  1. Dr,haid sy teratur …tiada masalah senggugut ke apa .cuma,sekarang sy merancang untk hamil dan beberapa minggu lepas ambik pil folic acid ..tpi masih x period …bulan ni period dh lepas ,sy dn suami bkrjasama pd hari subur sy ..sy tdak thu sma ada berkesan ke tidak?

  2. assalamualaikum dr.sye prnh bersalin normal dan luka dlman masih blum sembuh..sakit ketika bsma suami..ada cara terbaik atasi ?kami masih ikhtiar tambah zuriat

Tinggalkan Jawapan kepada Hasmida Batal balasan